Hari Kebangsaan Singapura

Selamat Ulang Tahun ke-200, Singapuraku!

Oleh: Khadijah Bte Isa (1N1), Khairiyah Ardini Binte Abi Idalfi (1N2), Nurina Syakirah Binte Sabari (1N2)

Hari Kebangsaan menjadi saat yang dinanti-nantikan oleh rakyat Singapura setiap tahun. Perbarisan Hari Kebangsaan sempena sambutan ulang tahun ke-200 Singapura tahun ini diserikan lagi dengan kehadiran pemimpin-pemimpin negara jiran, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia, Joko Widodo atas jemputan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. Kehadiran mereka melambangkan hubungan erat dua hala antara negara-negara berkenaan. Perbarisan Hari Kebangsaan 2019 sempena ulang tahun ke-200 Singapura itu mengingatkan kita tentang titik permulaan bersejarah kedatangan Stamford Raffles ke Singapura.

Tidak terlepas juga sambutan meriah yang diadakan di sekolah kami pada 8 Ogos yang lalu. Para pelajar dan guru-guru yang berkumpul di kawasan perhimpunan menyaksikan perbarisan oleh kadet-kadet pelajar daripada kumpulan berseragam NPCC, NCC, Red Cross dan Pengakap Singapura. Jika Singapura memperingati dwi-abad semenjak kedatangan Stamford Raffles, Sekolah Menengah Zhenghua pula telah memperingati ulang tahun dwi-dekad dengan skuad perbarisan membuat bentuk nombor dua puluh di akhir perbarisan. Itu adalah sesuatu yang meninggalkan memori yang indah bagi penonton.

Di kelas-kelas pula para pelajar telah mempelajari dengan lebih lanjut tentang sambutan peringatan dwi-abad 1819 sejarah Singapura melalui slaid-slaid yang menarik dan juga membuat renungan tentang bagaimana kita boleh menjadi negara kita kekal maju. Setelah selesai aktiviti di kelas, kami ke dewan sekolah bagi konsert Hari Kebangsaan yang turut disertai oleh warga emas daripada Pusat Jagaan Warga Tua Bo Tien. Kami bukan sahaja dihiburkan dengan sebuah pementasan drama tetapi juga permainan meneka lirik lagu hari kebangsaan dan nyanyian oleh kumpulan koir sekolah kami. Kami mengakhiri acara pada hari tersebut dengan rasa sangat bangga dan bersyukur sebagai rakyat Singapura yang hidup di dalam sebuah negara yang aman dan maju.

Kadet-kadet sekolah membentuk angka dua dan sifar untuk memperingati Ulang Tahun Sekolah Menengah Zhenghua ke-20
Kadet-kadet sekolah membentuk angka dua dan sifar untuk memperingati Ulang Tahun Sekolah Menengah Zhenghua ke-20

Pemimpin-pemimpin negara jiran yang hadir untuk menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan. Kredit gambar - BeritaHarianSg
Pemimpin-pemimpin negara jiran yang hadir untuk menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan. Kredit gambar - BeritaHarianSg